Sesiapa yang mahu produktif menulis, dia mesti bersedia mengubah rutin hidupnya. Dia mesti melapangkan satu waktu dalam sehari untuk menulis.
Bilakah waktu yang paling sesuai untuk menulis? Ramai penulis memberi jawapan yang berbeza kerana pengalaman setiap orang tidak sama. Apa yang sama adalah, setiap penulis mesti ada waktu yang khusus untuk menulis. Seorang suriumah yang sibuk dengan urusan anak-anak sekalipun masih boleh menulis apabila dia memperuntukkan waktu yang khusus untuk menulis.
Puan Mazneera Zainal, ibu kepada dua orang anak, berkongsi pengalaman beliau di dalam bukunya yang bakal diterbitkan oleh Galeri Ilmu, Tip Buat Wanita Bekerja Dari Rumah: “… anda mungkin terpaksa bekerja pada saat orang lain sedang nyenyak tidur kerana itulah masa paling aman yang membolehkan anda fokus terhadap kerja anda – seperti saya yang masih berjaga sehingga pukul 4.30 pagi menulis buku ini!”
Polly Williams, seorang penulis chicklit Barat, yang juga ibu kepada dua anak, ditanya bagaimana dia membahagikan masa antara menulis dan mengurus keluarga. Penulis novel chicklit The Yummy Mummy yang mendapat sambutan hangat itu berkata, “Ada orang yang memang menulis buku dan ada orang yang hanya berfikir untuk menulis buku, dan saya satu ketika dulu salah seorang yang hanya berfikir untuk menulis novel. Perkara paling mudah dalam dunia ini adalah tidak menulis novel. Nasihat paling baik (kepada calon-calon penulis) adalah, duduk menulislah. Anda perlu berkorban untuk berbuat demikian.”
Ada beberapa rakan editor di sebuah syarikat penerbitan besar yang mengorbankan waktu makan tengah hari untuk duduk menulis novel. Novelis dan penulis Hj. Abu Hassan Morad selesa menulis selepas Subuh dan selepas Maghrib.
Ada penulis yang bangkit seawal jam 3 pagi untuk menulis. Sifu saya mempunyai rutin ini dan saya juga kadang-kadang akan berbuat demikian jika ada kerja penulisan yang tidak mungkin dibuat pada waktu pejabat. Tidur awal dan bangkit awal. Dr. Tuah Iskandar, Prof. Muhd Kamil Ibrahim (Travelog Haji) dan beberapa penulis lain, juga memanfaatkan waktu qiamullail ini untuk menulis. Sudah tentu, setelah menyempatkan dulu berqiamullail dan menulis dalam keadaan berwuduk.
Mengubah rutin harian memang perkara yang sukar dilakukan. Tetapi jika mahu menjadi penulis yang produktif, ini adalah perkara pertama yang perlu dilakukan. Kita harus m memaksa diri untuk berubah.
Waktu yang dulunya kita gunakan untuk berehat atau tidur, itulah sekarang menjadi waktu untuk menulis. Begitu juga waktu yang dulunya kita gunakan untuk menonton tv, bersembang kosong, makan di luar, window shopping, melayari internet tanpa halatuju dan sebagainya, semua itu adalah waktu yang boleh dikhususkan untuk menulis. Malah waktu menunggu (di klinik, di hentian bas, di stesen LRT dan sebagainya) juga adalah waktu yang boleh dilapangkan untuk menulis. Paling kurang, untuk mencatat idea.
Dengarkan nasihat sifu saya:
“Untuk mencapai apa yang kita inginkan, kita mesti melakukan perubahan. Kita perlu lebih berusaha, menambah ilmu dan berani melakukan langkah-langkah baru dalam kehidupan. Ringkasnya, kita perlu berubah. Tetapi perubahan itu ‘awkward’ - yakni canggung, kekok dan tidak selesa sifatnya.
“Oleh sebab itulah ramai yang tidak mahu berubah. Mereka ingin terus selesa di zon selesa walaupun terpaksa menerima nasib atau menanggung keadaan yang sama...
“Berlakulah apa yang sering diungkapkan: “Orang yang berjaya ialah orang yang memaksa dirinya berubah manakala orang yang gagal berubah hanya apabila terpaksa!””