BENGKEL PENULISAN ISLAM

BENGKEL PENULISAN ISLAM TARIKH & TEMPAT: Belum ditetapkan dalam waktu terdekat.

Friday, May 27, 2011

Ringkas dan Padat

Sewaktu saya masih menuntut di Universiti Malaya, saya pernah menulis sebuah artikel mengenai perkembangan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Ia sebuah tulisan yang panjang berjela, memakan lebih daripada empat halaman bertaip single spacing. Saya menyuakan artikel itu kepada seorang penerbit majalah (majalah itu tidak terbit lagi) dan bulan berikutnya artikel itu tersiar dalam majalah itu dalam keadaannya begitu - panjang berjela dan hampir-hampir tidak diedit langsung.

Sebagai pelajar, tentulah saya gembira apabila hasil tulisan saya tersiar. Bagaimanapun, lama kemudian apabila saya semakin arif mengenai bidang penulisan, saya senyum sendiri mengenangkan pengalaman itu. Rupanya menulis artikel yang ringkas dan padat memerlukan lebih kemahiran berbanding menulis artikel yang panjang berjela.

Pada zaman ini ketika orang sudah banyak terdedah kepada teknologi internet, ramai pembaca yang suka membaca artikel yang ringkas dan padat. Tulisan dalam blog atau laman sesawang yang ringkas dan padat lebih mudah dihadam dan lebih diminati berbanding tulisan yang panjang berjela, apatah lagi yang meleret-leret dan tidak fokus pada satu-satu idea utama.

Oleh itu gaya penulisan untuk majalah perlu disesuaikan dengan trend ini. Kalau topik yang hendak ditulis memerlukan huraian yang panjang, tulisan itu mungkin boleh dipecahkan kepada beberapa bahagian supaya ia tidak terasa berat untuk dibaca. Lebih baik menyuakan banyak tulisan untuk dibaca tetapi ringkas-ringkas, daripada sedikit tulisan yang panjang-panjang.

Untuk menulis sebuah tulisan yang ringkas dan padat, penulis mesti jelas mengenai idea utama yang hendak diutarakan dan fakta-fakta atau hujah yang dapat menyokongnya. Penulis juga mesti belajar menguasai ekonomi kata. Tanpa ekonomi kata, tulisan akan menjadi lewah (berlebih-lebih).

Latar belakang dalam kewartawanan banyak mengajar saya untuk menitikberatkan ekonomi kata. (Tanpa ekonomi kata, ayat saya ini akan berbunyi begini: 'Latar belakang dalam bidang kewartawanan telah banyak mengajar saya untuk menitikberatkan soal ekonomi kata.')

Namun, menguasai ekonomi kata semata-mata tidak menjadikan tulisan kita ringkas dan padat jika kita tidak jelas mengenai idea utama yang hendak diutarakan. Ini menyebabkan tulisan kita melencong dan menjadi lebih panjang daripada sepatutnya. Maka penting bagi penulis untuk menetapkan idea utama tulisannya sebelum mula menulis.

3 comments:

.::: mr IQ :::. said...

Terima kasih atas perkongsian ini, saya akan cuba pertingkatkan penulisan saya (blajar guna ekonomi kata)...
terima kasih lg sekali... :)

Zakaria said...

Sama-sama.

rahsiahati said...

sangat setuju!
saya seorang yg gemar membaca pelbagai artikel. namun, saya lebih suka jika artikel itu padat dan ringkas. penting akan objektif penyampaian diterima pembaca dengan baik =)